Followers

Friday, December 31, 2010

pergilah 2010 dan datanglah 2011.....

Lagi 1 jam 2010 akan melabuhkan tirainya... dan 2011 akan menyusul.
Bagi CM itu hanyalah angka dan nombor... tetapi kedatangan 2011 akan banyak yang mengubah hidup harian CM. Adam akan masuk ke tahun satu dan Iqah akan ke tingkatan satu. Kalau dia berjaya mendapat asrama yg diidam-idamkannya, CM hanya tinggal berempat dirumah.....

Dan 2010 banyak mencoretkan kenangan.... suka, duka, sedih, pilu semuanya ada. Dan yang paling mencabar adalah bilamana CM terpaksa menghantar ketiga-tiga anak mendaftar masuk Universiti pada tarikh yang hampir sama... Dari Kota Bharu ke  Johor Bharu untuk menghantar Aliaa ke UTM. Dari Johor terus ke Bangi  untuk Akiff daftar di GMI dan kemudiannya ke Shah Alam untuk mendaftar Ani menyambung degree selepas menghabiskan diploma UiTM.
Dan Alhamdulillah... Allah berikan kekuatan kepada CM untuk menghadapi cabaran di tahun 2010. Semoga kedatangan 2011 akan menjadikan CM lebih kuat....

Thursday, December 30, 2010

hari pendaftaran sekolah ADAM

hari ni pergi ke SKSI 4 untuk daftar Adam untuk masuk ke tahun satu 2011

Program bermula jam 8.30 pagi... Perancangannya nak tinggalkan Adam dengan Ani, sebab dalam masa yang sama CM terpaksa attend menyuarat kokurikulum disekolah, tetapi bila sampai di sekolah, nak bangun dari kerusi pun Adam tidak dibenarkan!!





alahai..... boringnya..
guru besarnya bercakap tentang KSSR, guru prasekolah bercakap mengenai KSSR dan guru tahun satu pun mengulang tajuk yang sama.
CM yang bertugas sebagai cikgu pun boring tahap gaban, apalagi parents yang tak tahu apa-apa istilah tentang teori  pendidikan.



Adam paling ketara kepuasannya! bangun, duduk dan akhirnya baring di atas kerusi...
Last sekali dambilnya camera dan snap semua yang ada...dan tahi lalat umi pun menjadi focus cameranya...

Tuesday, December 28, 2010

Semuanya bertindih....

mesyuarat berterusan...
Hari ini mesyuarat Guru kali pertama, dan pembentangan senarai tugas guru untuk tahun 2011.
Besuk ( Rabu )  akan diadakan mesyuarat Kurikulum dan Mesyuarat Panitia Kali pertama
mesyuarat KoKurikulum akan di adakan pada hari Khamis
Hari sabtu adalah hari pendaftaran pelajar tingkatan satu ke SIC, semua guru diminta hadir!
Dan hari pertama persekolahan, P&P akan bermula, keadaan kelas semuanya mesti tip-top.... form teacher dan pelajar kelas masing-masing harus membersih dan menceriakan kelas pada hari sabtu...

Semuanya bertindih...
rancangnya besuk nak balik kampung, ke rumah bonda untuk mengambil seluar sekolah Naseef..
Hari Khamis akan diadakan Pendaftaran Adam untuk masuk ke darjah satu
Dan Sabtu pentadftaran Iqah untuk masuk ke tingkatan satu....

Kalau lah boleh badan dibahagi dua... masaalah akan boleh selesai....

Friday, December 17, 2010

Kerjanya hanya 'meminta' rezeki....

Sangat mudah Makcik ini  mencari duit untuk hidup.....

Hampir 5 tahun yang lepas ( sebelum  hubby meninggal dunia ) dia datang...... katanya  nak mencari rezeki dibulan ramadhan. Dan CM tanpa ragu-ragu menghulurkan RM 10.00. Sedekah dibulan ramadhan pahalanya besar!!!
Kemudian dia datang hampir setiap bulan..., datang mencari rezeki a.k.a meminta sedekah. Bukan hanya dirumah CM , tetapi juga rumah-rumah lain disekitar. CM pernah melihatnya berjalan dikawasan  perumahan lain, dan pastinya dengan tujuan yang sama.
Asalnya pemberian CM adalah ikhlas, tetapi bila setiap bulan datang ke rumah, CM sudah rasa lain.
Satu hari, bila dia datang, kami anak-anak berpakat seolah-olah tidak mendengar salamnya, tetapi dia berjalan mengelilingi rumah dan mengetuk tingkap bilik, sehingga CM terpaksa keluar seperti biasa.

Awal-awal dulu, bersedekah RM 10.00, kemudian turun RM 5.00, turun lagi menjadi RM 3 dan RM 2.
Tadi dia datang lagi.... dan CM hanya menyruh anak menghulurkan RM 1 kepadanya.

Bayangkan, sejak lima tahun lepas, kerjanya hanya berjalan dari rumah kerumah untuk meminta sedekah. kalau sehari dia  dapat berjalan ke 50 buah rumah, dan setiap rumah memberinya RM 5, maka pendapatanya sehari adalah RM 250. setahun ada 325 hari dan dia sudah melakukan kerja ini sejak 5 tahun yang lepas!!!

Dia bukan terlalu tua, badanya masih kuat, boleh bersembang dan berbual ( peringkat awal dulu, CM ada juga bertanya khabar , sekarang ni, duit pun minta tolong anak yang  hulurkan ).
Bermakna dia boleh berkerja kalau mahu, tetapi pendapatan cara ini lebih lumayan.... dan sangat mudah!!
bagaimana cara untuk menghalangnya ??? Ada cadangan???

Monday, December 13, 2010

kita hidup mengejar masa

dah berkurun tak update blog... semuannya berkaitan dengan masa!!
cuti sekolah 1 bulan bagaikan satu minggu....begitu cepat masa beredar.

dan entry ini juga berkaitan dengan masa, iaitu bila anak-anak yang besar (penuntut IPT) membandingkan masa dulu dan masa sekarang, dan menceritakan kepada adik-adik yang masih belum bersekolah dan disekolah rendah....
"Culu, Masa Kak Ya kecil-kecil, umi sentiasa bercerita tentang Pak Pandir, banyak umi tahu cerita Pak Pandir!"
"Dulu umi jahit sendiri baju kak Ani & kak Ah, siap jahit sulam bunga kat baju.."
"Dulu umi suka lukis baju untuk anak patung kertas kak Ah, kemudian kita gunting & simpan"
"Dulu umi selalu bawa kita pergi pantai, makan nasi kat tepi pantai lepas abah solat jumaat...."
serta seribu satu cerita yang kedengaran ganjil di telinga adik-adiknya.... dan CM memberikan jawapan...
"Dulu mana ada buku cerita.. sekarang dah banyak, boleh baca sendiri..."
"Dulu umi tak kerja lagi.... ada masa  menjahit baju.."
"Dulu umi tak sibuk, banyak masa..."
 tetapi yang sebenarnya itu bukan jawapannya...
Jawapan yang sebenar adalah kerana cara hidup kita di dalam dunia yang serba moden ini...

Daripada bercerita tentang Pak Pandir, kita selesa membiarkan mereka bermain game di komputer...
Daripada menjahit & menyulam sendiri  baju anak-anak, kita lebih selesa memberikan duit dan membiarkan mereka mencarinya di supermarket....
Daripada meluangkan masa berkongsi permainan mereka, kita lebih selesa melepaskan mereka memilih 1001 chanel astro untuk di tonton, atau berfb dan berinternet....
Daripada membawa mereka ketepi-tepi pantai, atau mandi-mandi sungai di hujung minggu, kita lebih selesa mengumpul duit dan pergi melancung , walau pun hanya sekali setahun!!

Sebabnya... sekarang kita hidup mengejar masa.... dan kita semakin jauh dengan anak-anak..
Mungkin bukan untuk orang lain... tapi CM amat merasakan perbezaan tersebut... kerana perbezaan anak sulung dan anak bongsu CM adalah 15 tahun!!!
Bagaimana hidup cucu cicit kita nanti????

Tuesday, December 07, 2010

salam Maal Hijrah

‎'Nobody can go back and start a new beginning, but anyone can start today and make a new ending'.


selamat menyambut maal hijrah untuk semua.

Lets start a new beginning, 

untuk kehidupan yang lebih baik, dunia dan akhirat! 

Wednesday, September 22, 2010

letih, penat dan seumpama dengannya.

Kalau orang bertanya 'apakah yang anda perlukan sekarang?' Jawapannya adalah rehat!

CM kekurangan waktu rehat yang secukupnya sejak dari sehari sebelum raya.
Bersiap untuk sambut raya, kemudian balik berhari raya di rumah bonda..... dan tanyalah siapa pun, hari raya adalah hari yang amat meletihkan..

Pulang kerumah, sibuk pula menyediakan barang dan memasak untuk open house pada raya ke-4, and of course raya ke 5 dan ke 6 penat mengemas pinggan mangkuk dan periuk belanga, termasuk kain baju yang menggunung tinggi!!

Hari Khamis, CM sebagai AJK Kecemerlangan  PMR dikehendaki menyertai rombongan Lawatan pelajar cemerlang keCameron Highland selama dua hari, dan menambahkan dugaan, balik dari cameron Highland, my mother in law dimasukkan le ward diHSZ2. Hari sabtu adalah hari berulang alik ke hospital.

Hari Ahad CM terpaksa berkampung di Royal Guest House Kota Bharu  bersama pelajar untuk program pecutan kegemilangan matematik, dan pastinya setiap waktu rehat akan berkejar kehospital.Tamat saja program, CM menerima panggilan memberitahu MIL sudah meninggal dunia. Maka seharian hari isnin adalah untuk urusan menyempurnakan jenazah dan menyambut tetamu yang bertandang.

Mengharapkan ruang untuk berehat seketika, CM  kesekolah pada hari selas, tetapi dua minggu meninggalkan anak-anak pelajar, rupa-rupanya banyak perkara yang perlu dibereskan, dan masa berlalu tanpa ada masa rehat!

Hari ini, hari rabu adalah hari untuk program rileks Minda pelajar PMR, dan sekali lagi, sebagai urusetia, sepatutnya CM terpaksa berkampung di Perdana Resort bersama Pelajar. Tetapi keizinan diperolehi untuk membenarkan CM disana sehingga jam 4.00 petang, dan  kembali kesana seawal jam 8.00 pagi besuk.

Berehat??
masih belum mempunyai waktu kerana majlis tahlil untuk arwah mother inlaw masih diadakan pada setiap malam sehingga jumaat ini....

Semoga week end nanti,ada  masa untuk CM berehat !

Thursday, September 02, 2010

Sempena cuti raya.....

Besuk dah mula cuti Pertengahan Penggal Persekolahan, kemudian bersambung dengan seminggu lagi cuti hari raya.....
CM suka cuti kali ini.. tiada ada bebanan kerja yang menemani ... Cuma terfikirkan para pelajar. PMR is just around the corner, tetapi dia orang masih enjoy sakan!!!

Pagi tadi last day before hari raya, dan sekolah mengadakan majlis sempena menyambut ketibaan syawal. Majlis bermaaf-maafan antara satu sama lain.
Hmm...  sangat meriah... apalagi bila berlatarkan lagu-lagu raya.
Majlis dimulakan dengan ucapan PKP mewakili Tuan Pengetua, diikuti oleh ucapan wakil guru perempuan, wakil guru lelaki dan wakil pelajar. Dan Majlis di akhiri dengan acara bersalam-salaman & memohon maaf diantara pelajar, guru dan kaki tangan sekolah.
Alhamdulillah... semoga semuanya di berkalti Allah

Monday, August 09, 2010

kelukaan seorang isteri .......

petang tadi CM didatangi oleh seorang kawan ... bercerita tentang kepedihan dan kelukaan hati selepas dimadukan!
beliau graduated drp UK, tetapi dek terlalu lama menginap di UK mengikuti suaminya yang berkerja di sana, akhirnya beliau pulang ke Malaysia tanpa memohon sebarang pekerjaan : menjadi housewife sepenuhnya... menjaga dan menjadi driver kepada 5 orang anaknya disebabkan kesibukan suaminya yang bertugas sebagai doktor.
Ingatkan panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengahari...
Dengan kemewahan yang dibawa balik dari UK, siapa yang tidak berminat untuk berkongsi!
Akhirnya dia dimadukan! CM dapat bayangkan kelukaan hatinya...Pengorbanan yang tidak dihargai... bertahun belajar diUK dan  kalau berkerja dengan kelulusan yang dia ada, gajinya mungkin sudah mencapai 5 angka. Meninggalkan keluarga di selatan tanah air dan menetap di Pantai Timur mengikut suami....meninggalkan segala-galanya untuk menjadi seorang isteri yang taat...
Pada awalnya dia redha apa yang berlaku, tetapi bila semakin lama, hatinya semakin terhiris dengan sikap orang ketiga, menjadikan  selepas segalanya  itu menjadi tidak betul.....
Sudah dua kali dia datang untuk meluahkan perasaan, tetapi kedatangan kali  ini amat meresahkan CM. Kehadirannya selepas bergaduh dengan suami, meninggalkan suami dan anak-anak.... dan bayangan percakapannya untuk menumpang dirumah CM untuk malam ini...
Adui... ditelan mati emak, diluah mati bapa... Kalau CM benarkan bermakna CM merestui perlakuannya meninggalkan suami ( wp selepas itu dia mendapat SMS drp suaminya untuk membenarkan dia untuk tidak bermalam dirumah ), jika tidak benarkan, seolah-olah CM tidak  berkongsi kesedihannya...
dan akhirnya CM senyap tanpa kata....  Mungkin memahami, akhirnya dia meminta diri untuk beredar dan bermalam dirumah kawannya.... Sedih... memang menyedihkan melihat langkahnya yang pergi... tapi apa boleh buat...
Salah siapa perkara ini berlaku..???? Isteri, suami atau pihak ketiga?

Tuesday, July 06, 2010

jauh perjalanan... amat meletihkan!!

perjalanan yang jauh dan panjang....
CM memulakan perjalanan kali ini pada pagi jumaat ditemani oleh adik CM ke Sekudai Johor untuk pendaftaran Aliaa ke UTM. Ketibaan kami pada waktu orang keluar pejabat, dan satu masaalah untuk masuk ke Taman Universiti.Pengalaman yang tidak cukup indah untuk pertama kali ke Sekudai, tetapi dipermainkan  oleh tuan punya rumah tumpangan. Janji dua bilik besar, tetapi yg dapat hanya dua bilik yg betul-betul muat katil king size.. drp dua bilik yg di tempat, akhirnya terpaksa menyewa 4 bilik .

Drp Skudai, CM dan anak-anak  ke Kuala Lumpur untuk menghantar Akiff Ke GMI. Adik CM terpaksa balik semula ke Terengganu. Kali ini kakak CM drp Terengganu datang untuk menemani CM. Perjalanan yang memenatkan.... Sehari suntuk di GMi pada hari Sabtu.

Daripada GMI. kami ke Shah Alam untuk menghantar barang-barang Farhani yang baru mendaftar untuk Degree di Shah Alam. Kerana pendaftarannya sama tarikh dengan Aliaa, dia terpaksa mendaftar sendirian tanpa kehadiran CM.

Bertolak pulang pada pagi tadi ( Selasa) dan hanya tiba dirumah pada waktu petang..
perjalanan yang betul-betul memenatkan, sejauh lebih drp 2000 km, selama 5 hari (Jumaat hingga selasa). Ruang rehat hanya waktu malam di bilik hotel.....ZZZZzzzzzz.....

Hari yang betul-betul memenatkan... untuk pendaftaran 3 orang anak ke IPTA!

Sunday, June 20, 2010

hari bapa

Hari bapa... asalnya tidak mahu menulis tentang ini kerana ayah CM  sudah meninggalkan dunia yang fana' ini hampir 20 tahun yang lepas.. dan bapa kepada anak-anak CM juga telah meninggalkan kami semua 4 tahun yang lepas..

Tapi bila membaca tulisan Kak Ah, dan link drp Joegrimjoew yang ada di dalam blognya..( boleh baca di sini), terasa  ingin berkongsi sesuatu mengenai hari bapa.
It's okey... cuma tinggal beberapa minit lagi...

CM sengaja tidak menimbulkan cerita hari bapa, atau ucapan hari bapa..... supaya tidak diingati oleh anak-anak, terutama Amar.

Semasa hari ibu yang lepas, dia pernah bertanya..
'nanti hari bapa, Amar nak bagi hadiah pada siapa?'
Alahai...
Cm tidak mahu berlaku kejadian beberapa tahun yang lepas yang diceritakan oleh anak CM, yg kawannya menangis kerana guru seninya memaksa membuat kad untuk hari bapa, dan akhirnya barulah di ketahu yang sebabnya hanya bapanya sudah meninggal dunia..
kita merasa itu adalah situasi yang biasa, tetapi mungkin kesanya amat mendalam kepada mereka....

Friday, June 11, 2010

Exam

Dah lama benar tidak menconteng disini. Ada aktiviti lain yang mencuri masa seketika.
Dalam cuti ni sudah beberapa kali anak murid singgah dalam face book, menanyakan markah peperiksaan mereka.
Dan CM cuma menjawab.. tunggulah, cikgu ada exam!
dan mereka mengundur diri dengan hampa!

Pasti anggapan mereka cikgu sibuk membaca
tetapi rupa-rupanya sampai kesaat turun dari rumah, satu apa pun belum sedia. Nasib baik ada pensil dan eraser di dalam drawer dibilik guru.
Bila masuk dewan, Kad pengenalan pula tertinggal dan nasib baik ada lesen sebagai pengganti.

Itulah gaya seorang guru menghadapi peperiksaan.... tiada persediaan dari mental dan fizikal langsung!! Yang pastinya kalau ini berlaku kepada anak murid, mungkin berbakul-bakul leteran kemarahan disemburkan...

Apa boleh buat.... umur sekarang sudah tidak mampu untuk membaca bagi  menjawab soalan objektif.... mungkin cara lain lebih sesuai. Wallahualam

Friday, May 14, 2010

KEM MENGGILAP BINTANG PMR

Alhamdulillah.. akhirnya kesibukan CM akan berkurangan..... kem Menggilap Bintang untuk pelajar-pelajar cemerlang matematik yang diadakan pada 11 - 13 mei 2010 berakhir dengan jayanya.
Dua hari dua malam CM berkampung di sweet Beach Resort bersama pelajar-pelajar , mengikuti aktiviti dan program yang telah dirancang sebelum ini.
Kem yang di penuhi dengan bengkel menjawab soalan, ceramah dan motivasi diharapkan dapat memantapkan penguasaan matematik dan seterusnya meningkatkan prestasi matematik PMR
InsyaAllah.


taklimat program dan program riadah

Peserta mengikuti aktiviti ceramah & Bengkel


Tahniah kepada 115 orang peserta yang menunjukkan komitmen yang memberansangkan.

Sunday, May 09, 2010

HARI IBU

dah lama tak menjengah ke sini......
terlalu banyak perkara yang nak difikirkan seminggu dua ni, sehingga blog ini bukan lagi menjadi tempat lepak-lepak...

hari ini agak lewat pulang dari sekolah, dan sebelum sampai dipintu rumah, Amar sudah call "ada hadiah untuk Umi"
ha..ha..  dua kad hari ibu dari Adam dan Amar, kad yang dibuat sendiri di atas kertas A4, siap ada lukisan gambar umi lagi.... Terima kasih untuk cikgu sekolahnya.
Anak-anak kecil yang putih suci.. dari kecil  diajar cara untuk menyayangi ibu, semoga membesar menjadi anak-anak yang baik!!



Dan SELAMAT HARI IBU UNTUK SEMUA IBU-IBU SEMUA!!

Tuesday, April 20, 2010

Ini dunia yang kita pilih

"CM tak ambil cuti ke?" ayat pertama yang keluar dari mulut Ketua Bidang Sains Social bila CM bertemu dengan nya semalam....

"Banyak kerja " ... huh!
Sebelum discharge,  doktor daripada ward 28 ada bertanya CM berapa hari perlukan cuti...
dan dengan selamba CM menjawab "tak payahlah... hari jumaat & sabtu dah cuti..."
Didalam kepala hanya terfikir kelas 3 Setia & 3Amanah... dah ketinggalan 2 topic daripada kelas-kelas lain. CM terpaksa masuk gear betul-betul untuk membawa mereka mengejar kelas-kelas lain. Dalam kepala hanya nak mengejar syllabus!

Tetapi  sebelum pulang kerumah semalam, S/U Sekolah Kluster menyampaikan berita yang baik (???....)
"Projek Menggilap Bintang PMR dah diluluskan. Proceed !"
Dan dalam masa 3 minggu ni, bermacam borang dan surat yang perlu disediakan...... maka bertambahlah senarai kerja CM. Itu belum dikira menyediakan bahan untuk perbengkelan.

Terdetik juga sekali-sekala
'mengapalah sistem pembahagian kerja disekolah tidak dapat di buat dengan betul?'
Ada orang yang terbeban dengan 1001 macam kerja.... tetapi ada pula yang relax memanjang................

Tetapi itulah adalah jiwa CM....  
Dunia pendidikan..... berinteraksi dengan anak-anak remaja yang nakal......
Walau pun penat, keseronokan tetap ada!!

malam ni nak siapkan draf aktiviti dan AJK program.... by the end of this week, kena buat mesyuarat guru form 3... (  ini arahan S/U Kecemerlangan... he..he..)

Saturday, April 17, 2010

Belajar dari Pengalaman

seminggu berlalu dengan 1001 macam cerita...

Cerita kereta sudah beres...
Pusat Servis mahu tukar pad brake & disk brake... terpaksa tinggalkan kereta 3 hari dengan kos anggarannya lebih kurang RM 1000, termasuk kos servis  biasa.
Atas nasihat member-member disekolah( CM hanya tahu tekan minyak & pegang stering ), CM bawa kereta keluar dari pusat servis, dan hantar ke mekanik . Hanya satu hari di workshop kereta dan kosnya hanya RM 425. Thanks to Abiey yang bersusah payah membawa pulang kereta CM , menghantarnya ke workshop dan menghantarnya pula ke rumah CM bila siap. Hanya Tuhan yang akan membalasnya!

Kadang-kadang Tuhan hanya menguji kita.....
Dalam ketiadaan kereta dirumah, CM terpaksa menyusahkan kawan-kawan lagi bila kesakitan   menimpa diri... Mula-mula minta hantar ke klinik, bila terpaksa  merujuk ke hospital , terpaksa minta tolong lagi... dan bila disuruh masuk ward, member juga yang terpaksa menyusahkan diri....
Terima kasih untuk guru-guru di SIC.......

Minggu yang betul-betul memberi pengalaman...
berehat di ward 3 hari.....hanya makan & tidur!!!
Mungkin  ini  caranya Allah ingin memberi ruang untuk CM merehatkan diri serehat-rehatnya....

Friday, April 09, 2010

cerita kereta...

setiap kali masuk kereta ., pasti akan terpandang satu nota kecil yang diltampal oleh pusat servis disudut kanan cermin depan.
'servis seterusnya adalah pada 28/12/2009 atau 50478 km, mana-mana yang terdahulu!
 CM hanya perasan angka-angka yang tercatat pada dua minggu lepas, iatu selepas 3 bulan dari tarikh yang diberikan dan bacaan meternya  sudah menjangkau 53+++  km.

Relaks jerr.... CM call puat Servis, booking tarikh,
tetapi betapa sibuknya seorang 'cikgu'....
dua hari selepas tarikh tersebut, barulah teringat semula yang kereta perlu diservis!!!
Dan terpaksa booking tarikh lain....


Sehari selepas booking tarikh baru, kereta dah mula buat hal!
(Kata orang kereeta pun boleh merajuk kalau kita tak pedulikan dia...)  
tersenyum sendiri bila mendengarnya!
Setiap kali tekan brake ," ia menghasilkan bunyi yang pelik!! Grrrrrrrrrrrrrrrrrrrrr..."
Agak menakutkan bagi CM yang buta pasal kereta.....

Telefon sana, telefon sini, tanya orang tu, tanya orang ni.... dan jawapan kepada bunyi tersebut adalah brake disc....
tetapi banyak versi pula respon yang diterima;
ada yang kata bahaya.., sbb ia melibatkan brake.
ada yang kata ok, tapi tak boleh  berjalan jauh...
dan ada yang kata kalau tak tukar terus, nanti rosak banyak.... mahal untuk dibaiki!!
....Semuanya menyebabkan CM rasa seram untuk drive... takkan nak berjalan kaki kesekolah kut!

Nasib baik esuk & lusa cuti hujung minggu...
boleh rehatkan kereta seketika sebelum dihantar servis minggu depan...

Bahaya ke kalau  guna juga kereta dalam masa seminggu ni???
Boleh tolong jawabkan siapa yang tahu!!!

Monday, April 05, 2010

cikgu rindu nak mengajar.... nak habiskan sukatan!!

dari awal februari..... syllabus tidak bergerak... masih di dalam topik 5
sedangkan masih ada 8 topik lagi untuk diselesaikan, dan masa yang diberi untuk menyelesaikan sukatan bagi kelas peperiksaan adalah sehingga bulan mei 2010!!
 5 minggu lagi untuk 8 topik???
Masuk gear 5 dengan halaju 150 km/jam pun belum tentu dapat habis, apalagi terhegeh-hege dengan kelajuan 10 km/jam, diiringi dengan 1001 program sekolah...

awal februari.... segala jenis acara sukan, pagi petang pelajar bersukan...
dan berakhir dengan minggu exam, sukatan hanya bergerak terlalu sedikit!

sekarang dah masuk minggu ketiga selepas cuti... sukatan masih belum berganjak!
Minggu pertama selepas cuti adalah minggu penghayatan Islam, kemudian sibuk dengan mesyuarat agung PIBG,
semalan pelancaran Tabung Kebajikan Pelajar...
dan hari ini pula Pelancaran  Minggu Bahasa!

Semoga selepas ini tidak ada sebarang gangguan untuk habiskan sukatan  yang sudah tertangguh lebih satu bulan daripada perancangan asal!!

Sunday, April 04, 2010

sebab masa terlalu lapang????

30 Mac hingga 3 April 20101.....  5 hari bercuti, tapi satu apa kerja pun tak buat!
Malam tadi baru sibuk buat enrolmen untuk bulan Mac...itu pun sbb hari ni dah mula sekolah!

 Ini kisah semalam....
Sudah beberapa lama kusyen tempat lepak budak-budak menonton tv koyak! dah banyak kali mahu dibuang..., tetapi bila dah menjadi seperti bantal busuk, masing-masing tidak mahu ditukar..... masih selesa lepak-lepak dengan kusyen yang ada!
CM pernah tanya tempat jahit sarung kusyen, dan harganya disekitar RM 450.... bergantung kepada material!
Huh!! tak padan dengan sofa yang umurnya dah lebih satu dekad... Yang layak untuk diletak di dalam garaj kereta!!


Berbekalkan dengan gunting, tali inci, kainlangsir lama yang dah luntur warnanya dan mesin yang jarang-jarang disentuh, CM mencuba... mengukur, menggunting  dan menjahit apa yang patut!

Dan hasilnya..

ruang lepak anak-anak dah bertukar warna.. dari hijau pekat kepada putih hijau dan putih biru... Dan almari CM juga semakin longgar dengan barang-barang lapuk yang tak berfaedahn tetapi nak dibuang sayang!!

Satu sofa yang masih belum berganti... entah bila akan ditukar sarung nya!!!


Ini hasil kerja dari waktu zohor hingga maghrib.........satu-satunya hasil yang dapat disentuh  dan dilihat semasa lima hari bercuti!!

Tuesday, March 23, 2010

maulud nabi & mahkamah

Minggu ini paling sibuk.....
Hari Ahad ada sambutan Maulidur Rasul dan perasmian minggu penghayatan Islam
CM kena siapkan bunga rampai.. 
nasiblah.. semuanya anak lelaki!!
Dan semua perkara  cikgu yang kena kena sediakankan.....





Kemudian terpaksa siapkan analisis untuk PKS 1...
...dapatkan markah daripada guru subjek..., key in dalam komputer.., ada pembetulan markah.....key in semula! 
bila perbincangan skema jawapan dengan guru subjek..ada lagi pembetulan...dan terpaksa key in sekali lagi!
semuanya hanya kerana PPD mahukan analisis ini sebelum 25 Mac...
Sedangkan  sekolah hanya baru dibuka beberapa hari!
Tetapi hingga ke saat ini belum dapat dibereskan lagi.....hu..hu

Hari ini Kena CM Ke Mahkamah sekali lagi... tempat yang paling tidak selesa dikunjungi...
tetapi bila terpaksa...itu yang perlu dilakukan!

Tuesday, March 16, 2010

Tanda soal ???

Mengadap Komputer tanpa kerja,
tiba-tiba teringat e-filing LHDN
cuba nak buat, tetapi semua maklumat di sekolah...
Saja buka laman web untuk meninjau-ninjau...

Tak ada pula potongan untuk langganan internet  melalui jalur lebar.....

Atau CM tersilap faham???
Untuk cukai 2010 ke??

Potongan belian komputer masih untuk 3 tahun sekali...
Huh..
setiap tahun beli computer, 2007, 2008, 2009.
kerana setiap tahun ada anak yang masuk IPTA
CM siap simpan resit...
ingatkan cukai 2009 dah bermula semua tu...
Pening lagi!!!
he..he..he..

Monday, March 15, 2010

member lama

Cuti???
Tapi macam tak cuti.. kerja masih tersusun-susun..
~ kelas masa cuti... hu..hu.. w/pun cuti, mesti ada kelas!
~semak skrip pelajar... skrip masih dalam bungkusan..
~Analisa peperiksaan - Mesti serah kepada PPD pada 25hb.... Bila nak dapat markah dari guru subjek??
tambah dengan kerja rumah yang tak pernah surut....

Kenduri Kahwin??
pun bersusun-susun...
mungkin ada yang tak sempat nak pergi nanti....

Tadi pergi kenduri kahwin member lama...
dan jumpa ramai kawan sekolah dulu!
Best....
Macam program jejak kasih.. 1980 last jumpa, tiba-tiba 2010 jumpa semula!
Punyalah happy sampai terlupa sekejap we all dalam  majlis orang!

Fabilah..
Dr Nu
Dr Sham
Faridah Hanam
Mazanah
......................terasa macam muda 30 tahun dari umur sekarang. he..he..........................

Tuesday, March 09, 2010

sudah senang hati......

zon yang memeningkan kepala...

(i)
program untuk projek kluster...
mengikut perancangan asal dan pembahagian tugas guru...
sepatutnya orang lain yang terlibat, tetapi arahan ketua panitia... minta CM uruskan..
CM bermula dari zero...
kertas kerja program, urus quotation, cari penceramah & fasilitator , senarai nama peserta, etc.. etc... semuanya nak detail!
sehingga kepada lesen perniagaan & akaun bank diperlukan!
sepatutnya kerja dalam masa tiga bulan, CM terpaksa uruskan dalam masa 3 minggu .... memang memeningkan!!
Dan lagi...
bila program ini berjalan nanti, CM yang akan pening lagi.....
Kenapa bukan orang yang sepatutnya buat program ini pening kepala???

(ii)
enrolmen pelajar untuk Februari...
terlalu banyak keluar masuk pelajar dan CM terpaksa menaip senarai nama berhelai-helai... itu kerja biasa setiap hujung bulan!
Tapi kali ini betul-betul memeningkan kepala. Pelajar yang masuk & keluar tidak tele dengan bilangan pelajar yang ada!
Pelik bin ajaib... seminggu terpaksa meneliti maklumat yang ada didepan mata, ... masih tak bertemu dengan kesilapan yang berlaku..
................... kesilapan teknikal guru tingkatan  menulis buku registered pelajar...CM yang pening kepala!!

akhirnya..
CM dapat melepasi zon itu...
besok boleh mengawas peperiksaan dengan senang hati.....

Dan lusa terpaksa bersedia
Secara mental & fizikal untuk menanda skrip pelajar...

Jumaat sekolah mula bercuti
Yahhoooooooo......

Sunday, February 28, 2010

pemantauan pertama!

Kena Observe lagi!!!

Tahun lepas 3 kali kena observe...
yang pertama orang dari kementerian semasa awal persekolahan,
kemudian diikuti dengan dengan Orang dari JPN untuk program e-Pantau,
dah akhir sekali dari Jemaah Nazir Persekutuan.

Agaknya tahun ni CM orang pertama di pantau di sekolah untuk program e-Pantau, JPN.
Walau pun yang memantau hanya GK, tetapi bila disebut nak observe P & P,
memang berdebar habis... akan jadi semua tak kena!
Bermula dengan masuk kelas, proses P&P, sikap & reaksi pelajar yang terlalu senyap.....  tak ada feel langsung!
semuanya macam berlakun.... Seolah-olah berlaku bukan dalam situasi yang sebenar!
Dan semuanya tidak memuaskan hati!!

Bila pemantau keluar, dan CM menyambung proses P & P untuk habiskan waktu.....
baru terasa bermulanya P & P..
Ada reaksi spontan pelajar, ada suara yang menyampuk dan ada yang membuat kelakar..
CM senang mengajar dalam suasana yang sempoi, bukan suasana yang resmi

"Baru keluar suara teacher sebenar"... itu diantara komen pelajar..
Agaknya mereka juga tidak menyenangi suasana sebelumnya...
tak dapat nak bebaskan diri mereka yang sebenar
w/p yang memantau juga adalah guru subjek mereka.

Apa pun, GK sangat telus.... kerana habis saja kelas,
CM terus bertemu & berbincang dengannya!
Proud of her!!!

Adush.... walau pun dah 20 tahun jadi guru... bila sebut ada orang nak observe,
mesti berdebar-debar, mengajar pun macam guru practical semula..

PBSM

lagi kisah sports day SIC
ada orang bertanya
'CM pandai ke pertolongan cemas, nampak macam mahir jerr??'
Ahaks!! Budak PBSM yang buat.. kita hanya mengarah & memantau!

bila diberi tugas sebagai guru penasihat PBSM, secara otomatik akan terlibat dengan pertolongan cemas.
Dan CM sentiasa cemas..... takut berlaku yang tidak diingini!
Kalau setakat cramp kaki & luka ibu jari, cik Google  pun boleh ajar.
( biasanya kes ni yang ramai masa hari sukan, dan ada yang saja-saja nak bermanja... )



Masa sekolah dulu, CM pernah masuk PBSM, tapi tak pernah lulus bila exam..sebenarnya tak pernah membaca nota .... masuk main-main jerr.. masa perjumpaan tak pernah fokus!!
Dulu, cikgu sentiasa pesan... asas pertolongan cemas penting. tapi kami main-main jugak...
Kesian cikgu... pernah ambil exam 20 orang.. tapi semua gagal!!

kemudian masuk pandu Puteri... tak ada exam!
pandai buat panggilan telefon guna public phone, dah lulus tahap satu, dapat satu lencana....
hahaha.. tersangat mudah berbanding PBSM!

Bila jadi guru PBSM baru tahu...
Orang lain bertugas mengikut acara sukan, tapi PBSM bertugas saat bermula acara saringan sehingga habis acara perbarisan & penyampaian hadiah.
3 hari tanpa rehat!!!


Kesian budak-budak PBSM...
dan kesian cikgu penasihatnya..he..he...
Penat belum habis lagi ni....


bersama anak-anak  PBSM  yang bertugas tanpa jemu....
kredit untuk anda semua!!

Friday, February 26, 2010

HARI SUKAN...


Hari kejohanan olahraga yang ke 60...
Huh.... penat sangat-sangat!
Bermula raptai penuh pada pagi selasa, diikuti dengan acara pedang pada petangnya..
Acara saringan diadakan pada pagi & petang rabu..
Berakhir dengan acara akhir & majlis penutup pagi tadi...

CM bertugas dibahagian pertolongan cemas dengan ahli PBSM... sangat memenatkan!!!
Daripada pagi selasa hingga hari khamis....


perbarisan semasa upacara penutup, bermula dengan pasukan pancaragam



 diikuti oleh pasukan rumah-rumah sukan, Mahmud, Mahyidin, baker, Wong dan Ibrahim

Pasukan Baker

 formasi oleh pasukan wong

 Maskot yang keletihan....
harimau sudah tidak mampu mengaum...



guru-rumah Wong... 
Kami tetap ceria walaupun gagal mendapat Johan & Naib Johan... masih menunggu tahun depan




Ahli PBSM .... yang banyak membantu CM pada kejohanan Olahraga kali ini... 
I Love you all, guys!!


Acara 3000 meter, acara  pembukaan pada pagi tadi..





yang sering menceriakan khemah PBSM
khemah orang-orang sakit!

Wednesday, February 24, 2010

cerita hari ini...

hari pertama acara saringan untuk kejohnan olahraga Maktab Sultan Ismail kali ke 60....

CM bertugas bahagian pertolongan cemas bersama ahli PBSM... tapi yg berlaku di sebaliknya...
ore klate kato
'ggalo tanoh ore, tanoh sdiri lale sekat lutut'

 CM turun padang pukul 3.00 ptg.. kemudian terima call drp ketua rumah WONG..
.....minta tolong uruskan peserta .....
Kemudian datanglah beberapa peserta anak buah CM
'cikgu.. nombor nak ambil kat mana?'
'cikgu, saya masuk acara apa?'
'cikgu,  itu ......?,  cikgu.... ini?'
Rupa-rupanya mereka belum diberi apa-apa lagi!!
Senarai nama peserta dan nombor peserta entah dimana, sedangkan juru acara sudah beberapa kali supaya peserta melaporkan diri dimeja urusetia...
 maka bertugaslah CM disitu.. berkejar cari nombor, cari senarai nama ,
dan mengurus 1001perkara yang berkaitan dengan peserta rumah Wong,
Acara yang tidak ada peserta terpaksa dicari peserta baru untuk diganti... ada yang bertindih, ada yang berlebihan, ada yang tidak hadir dan sebagainya......
semuanya perlu dibereskan!

sehinggalah.....
ada pelajar jatuh selepas lari 400m.....
mana budak-budak PBSM???
Pertolongan Cemas???

he..he..he...
CM boleh lupa  tugas utama di padang hari ini....
Nasib baik tidak ada berlaku kecemasan!!

Mungkin sebab semangat Rumah Wong terlalu kuat!!! Tugas orang lain dibereskan...., tugas sendiri diabaikan!

Apa-apa pun...
Esuk  dan lusa masih terpaksa memenatkan diri di padang.......

Tuesday, February 23, 2010

lain kumpulan, lain masaalahnya...

Esok dah mula acara saringan untuk sukan tahunan...
Hari Khamis adalah Hari Kejohanan Olahraga!

petang tadi, hingga 6.15, CM masih di padang sekolah...
Urusan pemilihan peserta belum selesai....
macam-macam masalah!!

Masalah budak besar...
semua acara tak nak masuk..
tak retilah... orang lain lebih terrorlah..1001 alasan!!
Dan masa pemilihan hanya beberapa kerat yang datang latihan!

Budak kecil lain pulak ceritanya...
Semua acara dia nak masuk!!
Bila di tanya: ' awak boleh lari pecut?' atau 'awak boleh lontar peluru??'
jawapannya: 'boleh, cikgu!'
Bila diberitahu kita dah ada peserta ..
Dia menjawab.'saya pun nak masuk , cikgu!
Bila di soal balik...' Masa latihan dulu, awak dengan dia, sape yg lebih laju?'
Tahu pulak dia jawab.. 'Saya tak datang masa pemilihan... tapi saya juga boleh lari cikgu!!"

Aduh...... akhirnya cikgu yang lembik kepenatan!!

Sunday, February 21, 2010

he..he.. jom layan budak-budak!!

hari ini mula persekolahan selepas relaks seminggu.... entah relaks ke tidak....!!

Masuk tingkatan 2 Jujur,
sambil bersembang dan berbincang pasal kerja masa cuti & kerja sebelum cuti, maka terceritalah kisah kecurian dirumah CM..
maka topic kecurian itu dengan cepat menjadi topic utama,
Dan terkuburlah kerja & soalan matematik untuk ketika itu!!
( sape-sape yang jadi students, memang sangat best bila cikgu bercerita topik lain semasa P&P, kan??)
masing-masing bertanya & memberi pendapat!!
CM layannn jerr....

Then, ada seorang student memberi pendapat
"Teacher, taecher bagilah message pada pencuri tu...
Tulis kat pintu pagar besar-besar...'BERHENTILAH MASUK RUMAH SAYA, PERGILAH MENCURI RUMAH ORANG LAIN PULAK'
Mesti dia kesian kat teacher"

Kak....kah....kah.....
CM dah tak nak bagi pencuri masuk rumah CM ni...Ada sape-sape yang nak offer rumah dia pulak?
he...he..!!

Wednesday, February 17, 2010

thinking positive

Banyak perkara yang berlaku yang memungkinkan kita bertindak dan berfikir diluar kawal

Selepas siri kecurian yang berlaku menyebabkan CM rasa serba tak kena... Marah, Sedih, Kesal dsb menyebabkan fikiran pun menjadi tidak rasional...
Kenapa tumpuannya pada rumah CM???
Apakah dosa kami ???

Bila difikir sejenak, banyak sebab yang ada...
Kami tidak ada lelaki dewasa...
rumah peninggalan arwah  agak besar daripada rumah-rumah lain di kawasan ini, tetapi tidak ada kawalan keselamatan.... rumah kami tidak ada pagar automatik, tidak ada alarm dan cctv.
dan yang paling mereka seronok... setiap kali mereka masuk , mereka tidak keluar dengan tangan kosong!!

seperti saranan kawan-kawan, selain daripada memohon daripada ALLAH swt, CM terpaksa fikirkan sesuatu, fikirkan bagaimana mengawal keselamatan dirumah. Ia mungkin memerlukan perbelanjaan yang agak besar!!

walau apa pun, inilah ujian yang perlu CM terima untuk melengkapkan hidup ini...

Kadangkala Tuhan hilangkan sekejap matahari. Kemudian Dia datangkan pula guruh dan kilat. Puas kita menangis, mencari dimana matahari? Rupanya Tuhan nak hadiahkan kita pelangi..

................CM masih menanti kemunculan  pelangi.... Ia pasti muncul selepas hilangnya guruh dan kilat ini.......

Monday, February 15, 2010

ini sudah kali ke4

Malam tadi sekali lagi!!!
Kali Ke empat dalam tahun 2010!
Membuat hatiku sangat MARAH...
Kalaulah dapat si bedebah tu... habis nafasnya aku kerjakan!!!
Dalam banyak-banyak rumah disini Rumah ini yang menjadi tumpuannya...

Baru sebentar pegawai penyiasat IPD Kota Bharu datang siasat
dan bertanya...
Ada Akak syak siapa-siapa???
( Tak ada...... )

Dalam sebulan setengah ni..
dan 4 kali dia naik rumah CM
Dia dah kebas  RM 2000++ , satu laptop dan sepahkan kereta berserta  rumah...
Memang tak boleh dimaafkan!!

Sama-sama lah kita berdoa
semoga dia akan sedar dan menyesal
dan CM tidak lagi menjadi mangsanya

Saturday, February 13, 2010

cuti

badan masih sakit-sakit... batuk berdehem-dehem
tapi semuanya menjadi baik bila mood cuti datang....

Esuk balik kerumah bonda.....
berkumpul ramai-ramai
dan berBBQ
jumpa nanti!!!!

Thursday, February 11, 2010

Hari Ahad: Sesiapa yang tidak sihat dan memerlukan ke hospital, sila turun ke bilik gurr sekarang juga..
Hari Isnin : Perkara yang sama berlaku...
ramainya pelajar yang demam. hingga terpaksa dihantar  ke hospital dengan bas sekolah
dah tercatat dalam sejarah bila dalam bilik darjah 7-8 orang pelajar pelajar tak hadir  disebabkan tidak sihat!

Denggi???
H1N1???
semuanya negatif.... apa yang pasti adalah perubahan musim...
hujan.. panas silih berganti
mungkin menyebabkan organisma pembawa penyakit menjadi lebih aktif
dan badan tidak dapat menyesuaikan dengan keadaan....

Hari rabu, CM sempat bersama pelajar diperhimpunan Pasukan Pakaian Seragam,
tetapi selepas itu badan dah mula rasa seram sejuk.... pening kepala & sakit seluruh badan...
Jumpa PK HEM, minta keluar untuk ke klinik... sempat fotostat bahan untuk ditinggalkan kepada pelajar.
Doktor bagi MC 2 hari, tapi CM minta hanya 1 hari sbb hari kedua dah hari jumaat!!

Alahai.... demam kali ini betul-betul menguji...
pening kepala..., sakit tekak, batuk dan sukar untuk bernafas....
sakit tubuh dan segala sendi...
CM tidur 24 jam... tak boleh nak buat apa-apa!!
Nasib baiknya... Farhani dah tiba dari Kangar untuk cuti hari raya Cina...
Dia yang urus segala tugas untuk ambil & hantar adik-adik kesekolah...

Masih lagi ada ucapan Alhamdulillah....
Dia Mengetahui segalanya.....

Tuesday, February 02, 2010

everything went wrong!!!!

Malam tadi Adam demam lagi.. tambah dengan batuk dan lelah....dan semalaman CM tak dapat tidur dengan lena!
jadi pagi tadi Adam tidak ke tadika...dia dihantar ke rumah Along.. dan Amar ikut ponteng kelas Qiraati petang tadi. Dari sekolah terus ke rumah Along tanpa singgah di nurseri, tempat dia transit sebelum balik kerumah.

Rumah akan kosong hari ini...
Naseef ada kelas hingga jam 5 ptg,
Iqah terpaksa hadir kelas tambahan hingga jam 4 petang,
Akiff belajar ke sekolah memandu sbb besuk pagi test lesen.
CM sendiri ada latihan rumah sukan di sekolah bermula jam 3.30 petang hingga 5.00 ptg

pagi-pagi hari.....
sampai jer disekolah, bahirah bagitahu
"Kak Zan, enrolmen yang kak zan bagi tu ada silap sikit.. satu kelas tak termasuk untuk jumlah pelajar'
"Ye ke?? Kak zan dah fax ke JPN..."
ho..ho.. bertambahlah kerja CM hari ni...

Dan tengaharinya... terpaksa call JPN,
cancell enrolmen semalam dan kena hantar yang baru...
habis kelas, siapkan ... tapi malangnya tak dapat untuk disahkan kerana semua pentadbir sudah pulang!!
terpaksa bersambung besuk...

Jam 3.30 ke padang, bersama pelajar berbaju hijau....
dan jam 4.15 ptg, CM tinggalkan pelajar rumah Wong untuk ambil Iqah drp sekolah,
tetapi dipertengahan jalan, Iqah telefon dia dah pulang, Along yang ambilnya drp sekolah.

memandangkan Amar & Adam sudah berada di rumah Along,
CM terus kembali kesekolah untuk bersama pelajar semula.

Jam 5 ptg, CM pecut kereta ke Maahad Muhammadi Lelaki, ambil Naseef
dan sebelum sampai ke rumah,
singgah rumah Along untuk ambil Amar, Adam & Iqah.
Penoh satu kereta dengan beg buku dan baju kotor!!

5.30 tiba dirumah
sampai jer , terus angkat barang daripada kereta.... tiba-tiba..

Amar:   'Umi... pintu tak boleh buka! Abang Akif kunci dari dalam!!!'
Umi:     'Ambil kunci pintu depan drp Naseef'
Naseef:  'Naseef tak bawa kunci.. kan Naseef balik lewat!!'
Umi:      &;^%$#@!*!!!!

Huh...
semuanya keletihan...kepenatan....bertambah letih jadinya..
Adam & Amar join member-membernya dibelakang rumah...
Iqah buka beg sekolah...buka buku dan siapkan kerja rumah... kerusi batu depan rumah jadi sasaran, sbb malam nanti masih ada kelas malam.
Naseef, buka paip air...mula-mula siram pokok, kemudian siram badan w/p masih dalam uniform sekolah... mandi... dan ambil kain di ampaian untuk tukar pakaian
CM naik buaian depan rumah dan terus tertidur...
kepenatan!

jam 7 malam
Akif tiba kat rumah....belum sempat dia turun drp motorsikanya,
sebakul leteran CM lempar untuk habuannya...

'Eh.. Akif tak selak pun pintu tu... cuba umi buka semula"
Dan CM try semula buka dengan kunci yang ada...dan memang boleh dibuka!!

Oh my God.... selepas menunggu satu jam lebih.......
rasa macam nak bertempik satu dunia!!!!!

 Dan Akif, dengan selambanya berkata sambil ketawa
'kalau Akif tahu....Akif balik selepas maghrib!!'

Monday, February 01, 2010

kadang-kadang

Kadang-kadang....
kesibukan itu
menyebabkan kita tak dapat membuat sebarang kerja
dan masa pun berlalu begitu saja...........

Friday, January 29, 2010

Anak angkat

Blog ini akan menjadi catatan kesibukan seseorang yang bergelar cikgu, yang berkongsi hidup dengan anak-anak tanpa bibik.........

Semalam satulagi program kecemerlangan PMR dilancarkan..
PROGRAM MENGGILAP BINTANG PMR 2010
Program penyerahan anak oleh ibubapa kepada guru untuk dijadikan anak angkat disekolah...
Seorang guru ( daripada Tuan Pengetua sehingga guru biasa ) diberi seorang anak angkat untuk mempastikan dan membimbing mereka untuk mencapai straight A's di dalam PMR nanti..

Dan CM mendapat seorang lagi anak instant... yang diserahkan secara resminya oleh ibunya petang semalam!
dan Alhamdulillah... CM memperolehi seorang pelajar yang baik....

InsyaAllah  lebih ramai pelajar yang berjaya nanti melalui program ini...

Sunday, January 24, 2010

minat......

Yeah.... sudah boleh bersenang hati sikit, sbb modul P&P sudah dihantar...
cuma tinggal 3 topik yang belum diedit... Itu pun untuk kegunaan dipenghujung tahun
Alhamdulillah!!

Dalam kesibukan & ketensionan serta kemarahan membara kepada pencuri yang tak jemu-jemu naik rumah CM, akhirnya , terapi kehidupan , iaitu sulaman bunga pada tudung siap! Dah boleh dipakai....





Ini sebelum di tampal berlian....  tak nampak seri lagi!!!
 

Huh... nampaknya CM  kena simpan semula kotak jahitan... BulanFebruari kelas Pengukuhan bermula... Aktiviti Persatuan & Unit beruniforn perlu dibereskan, dan acara sukantara serta kejohanan olahraga akan dilaksanakan...

Kesibukan akan bermula....kehidupan  biasa seorang guru yang meletakkan minatnya pada profession!
Penat  tetapi  puas!!

merentas desa...

program sukan sudah bermula...
pagi tadi kejohanan merentas desa  diadakan setelah dua minggu berlatih... budak-budak bersemangat... cikgu lebih-lebih lagi... lebih-lebih lagi acara pertama untuk 2010!

Sorry... CM rumah Wong, so, gambar hijau saja yang ada!!


pelajar melakukan senamrobik sebelum dilepaskan














Tuan Pengetua bersedia untuk melepaskan pelajar     dibawah 13 tahun.












 Barisan guru rumah wong... memenangi sporting spirit untuk hari ini














menunggu upacara penyampaian hadiah...
walaupun hanya ditempat ketiga, wong menang dengan SORAKAN & SEMANGAT!

Saturday, January 23, 2010

2010 yang dilalui hingga kini!

sibuk....
kesibukan tahun baru belum berakhir!
bersulam dengan cerita yang tak mahu di dengar

Semalam
CM balik kampung...meninggalkan 2 anak teruna untuk menjaga rumah..
dah rasa tak sedap hati, sebab dah dua minggu berturut-turut kawasan rumah ni di naiki pencuri..

Minggu pertama 2010, sempat ambil RM 500 dirumah CM,  minggu kedua tak dapat naik rumah CM, digeledahnya barang-barang dalam kereta, tak ada apa yang dapat... dan akhirnya dirembatnya 7 gulung wayar letrik kat rumah jiran CM, dan malam tadi sekali lagi.... dia naik melalui tangki air ke rumah CM dan sempat mengambil Laptop Kak Ah . Barang-barang lain tak pula di ambilnya!!

his.... geram betul!!!!!! kalau lah dapat si pencuri tu......

Dan seperti dua minggu lepas, bangun pagi barulah anak-anak teruna CM tahu apa yang berlaku!!

Rasanya ini perbuatan budak-budak yang baru nak belajar mencuri... sebabnya dia orang tahu rumah kami tak ada lelaki dewasa!

Saturday, January 16, 2010

sempat ke ni...

kelmarin, di notice board bilik guru tertulis

'SATU SALINAN MODUL UNTUK SEMUA MATAPELAJARAN MESTI DIHANTAR KEPADA TUAN PENGETUA PADA 21/1 INI '

Menyebabkan CM garu kepala.... CM baru siapkan 6 topik daripada 13 topik... ingatkan nak keluarkan topic by topic, tapi lain yang dirancang, lain pula yang berlaku...

Nampaknya dalam minggu ni CM terpaksa tangguhkan semua kerja-kerja lain...

Tuesday, January 12, 2010

terapi kehidupan

bermula sessi persekolahan, maka kesibukan bermula....

Hari sabtu, majlis bubur assyura sekolah dari pagi hingga ke petang,
semalam pendaftaran pelajar baru tingkatan satu.... jadual CM terpaksa direlief... tak sempat masuk kelas!
pagi tadi re-structure classes.... susun semula semua pelajar untuk tingkatan dua  & tiga...
bila terlalu banyak kerja menimbun, fokus kerja mulalah melencung...
terapi yang paling baik.....buat kerja yang kita minat, walau pun masa terlalu semput...
Dan CM pun buka semula peti sulaman tudung...

sketch bunga untuk disulam dan mula menjahit...
huh... lega!
hilang semua stress tentang kerja tak siap.


CM menggunakan  lebihan benang yang lepas-lepas..... warna terang supaya mood lebih ceria!
( Comment Iqah: Macam nak buat  tudung untuk  budakbudak.....)






semoga dapat siap hujung minggu ni....

Wednesday, January 06, 2010

rutin baru..

pejam celik, pejam celik... rupa-rupanya sudah  seminggu 2010 menonjolkan diri!

2010 dengan rutin hidup yang baru....

sunyi sepi rumah bila ketiadaan bibik...
menimbulkan suasana baru, perasaan yang pelik dan mood  yang  berbeza!

Adam di nurseri hingga ke petang, Amar pula transit di tempat yang sama selepas balik dari sekolah, sementara Iqah terus ke rumah Maklong untuk transit, sementara menunggu umi  @ naseef pulang!
Maka tinggallah rumah kosong seharian...... sunyi dan sepi!

ruang masa beberapa jam  diwaktu malam hanya berada didepan TV.
menjadikan rumah semakin kosong.... semakin sunyi dan semakin sepi!!

Saturday, January 02, 2010

permulaan yang meresahkan...

Setiap tahun CM bermula dengan kesibukan menyambut hari lahir...
Tahun ini juga sama....
Dari jam 8.00 pagi proses pendaftaran pelajar tingkatan satu, diikuti dengan persiapan anak-anak untuk kesekolah besuk.
Semua perkara yang tidak beres timbul pada hari ini..
jahit baju, kapur kasut, balut buku dan 1001 macam, padahal sebelum ni setiap hari sudah dipesan... apa-apa yang tak beres beritahu segera!
Begitulah anak-anak....
Kemudian bereskan rumah... besuk kesekolah tanpa ada bibik, jadi semua kerja kena siapkan.

Adam ke tadika... dari awal dia mengelak untuk ke sekolah... Apa jadi tunggu besuk!!!

Dan hari lahir tahun ini CM sambut dengan kerja-kerja yang tidak berpenghujung......
Alhamdulillah... masih sempat menyedut nafas dengan  umur yang  bertambah pada tahun ini!

Friday, January 01, 2010

sedih... sambut tahun baru!!

CM sambut tahun baru dengan berita tak baik.....

Semalam kami sekeluarga balik rumah bonda, hantar Kak Ah. Dia akan ke KL dengan cousinnya...
CM tinggalkan 2 orang anak bujang kat rumah.

Pagi tadi, sampai jer kat rumah....
'umi...ada orang naik rumah.. habis duit Akiff 500.00.'
'Lap top umi ada?"
'Akiff tido bilik umi. Dia tak masuk bilik umi. Dia masuk bilik Akiff jerr. Agaknya dia tahu ada orang dalam rumah'


Kesian Akiff.... baru ambil duit drp tabung haji untuk belajar kereta, dah kena kebas!!

Sekarang dalam rumah dah tak selamat, luar rumah lagi tak  selamat.... mana lagi ada tempat yang selamat.
Untuk pencuri... pilih lah rumah yang sesuai kalau nak masuk.... jangan pula masuk rumah ibu tunggal anak sembilan ni. Kita orang mana ada harta lebih!! hu..hu..

apa-apa pun, dah tak ada rezeki bahagian itu. Nasib baik dia orang tak geledah semua bilik!
Masih ada ucapan Alhamdulillah!!

sejarahnya... CM sambut tahun baru dan birthday CM ( besuk birthday CM ) dengan berita yang tidak gembira
esuk dah mula berkerja..... pendaftaran pelajar tingkatan satu. Mana ada cuti tahun 2009 ????